KUALA LUMPUR: Sebuah lagi kereta Perodua Kancil yang membawa lapan penumpang terbabit dalam kemalangan menyebabkan seorang bayi berusia 22 bulan terbunuh manakala tujuh lagi cedera selepas dirempuh sebuah kereta Proton Wira di Jalan Seri Kembangan 1, di sini, Ahad lalu.
Kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu berlaku ketika kereta Kancil dipandu Raja Sekaran a/l Govinda Sammy, 43, dirempuh kereta Wira berkenaan yang terbabas dan memasuki laluan bertentangan.
Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya pada 20 April lalu sudah membuat keputusan berhubung cadangan mengehadkan bilangan penumpang bagi kenderaan persendirian kecil, terutama enjin kurang 1,000 cc.
Berdasarkan kenyataan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), bilangan maksimum penumpang keretanya adalah lima orang.
Dalam kejadian pada Hari Raya pertama tahun lalu, enam orang termasuk tiga kanak-kanak terbunuh dalam kemalangan ngeri membabitkan dua kereta Perodua Kancil yang masing-masing membawa lapan dan tujuh penumpang dengan sebuah bas di Kilometer 2, Jalan Sepang-Sungai Pelek, Selangor.