NEVE DEKALIM: Israel memulakan operasi bersejarah mereka esok dengan berundur dari Semenanjung Gaza selepas mencerobohinya sejak 38 tahun lalu. Tindakan itu ditentang keras penduduk Yahudi yang dikerahkan keluar dari situ.
Beribu-ribu polis serta askar Israel masuk ke Gaza dan memberitahu penduduk Yahudi mereka diberi masa 48 jam untuk meninggalkan tempat itu atau akan dikerahkan keluar kerana kehadiran mereka diisytiharkan haram sejak tengah malam kelmarin.
“Perkara ini tidak menyenangkan hati kami tetapi ia penting untuk masa depan Israel,” kata Menteri Pertahanan Israel Shaul Mofaz.
Polis dan tentera mula pergi dari rumah ke rumah di penempatan pinggir Mediterranean untuk menyampaikan notis keluar tetapi menghentikan operasi itu di kawasan lebih besar selepas penduduk menyekat pintu masuk ke situ.
Penduduk berdegil dan mengecam pemimpin mereka Ariel Sharon. Mofaz berkata, Israel mahu mengekalkan cengkaman di kawasan penempatan Tebing Barat dalam perjanjian dengan Palestin.
Kira-kira tujuh jam sebelum Israel mula mengedarkan notis keluar, simpang masuk utama Kissufim ke Gaza ditutup kepada penduduk.
“Mulai saat ini, semua kemasukan atau penempatan di Gaza dilarang ke atas penduduk Israel berdasarkan undang-undang,” kata jurucakap tentera Mejar Sharon Feingold. _ AFP