MELAKA: Seorang suami yang tidak berpuas hati keputusan seri 2-2 perlawanan bola sepak Piala Dunia antara England dan Sweden menghentak kepala isterinya dengan kerusi plastik hanya kerana mangsa terbatuk ketika mereka sarapan bersama, pagi kelmarin.
Lelaki berusia 25 tahun yang juga penyokong fanatik England itu dikatakan bengang apabila pasukan itu gagal mencapai kemenangan.
Pasangan itu dikatakan sama-sama menonton perlawanan Piala Dunia itu di rumah mereka sebelum bersarapan sebaik perlawanan berakhir di Kampung Ayer Hitam Pantai, Tanjung Bidara, Masjid Tanah, dekat sini.
Ketika bersarapan, mangsa yang berusia 26 tahun terbatuk menyebabkan suaminya segera mengetuk kepalanya dengan tangan.
Mungkin terlalu geram, suami mangsa yang bekerja di sebuah kilang di Alor Gajah kemudian mengambil kerusi plastik lalu menghentak kepala mangsa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mazlan Kesah, berkata berikutan kejadian itu, mangsa yang bengkak di kepala mendapat rawatan di klinik berhampiran.
Menurutnya, mangsa turut membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah pada jam 9.30 pagi.
Katanya, siasatan awal menunjukkan suami mangsa seorang yang panas baran dan sering memukul serta memarahi mangsa.
Beliau berkata, polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera.
p/s: kalau tgk bola sepak tuuu jgn laa sampai nk megamok!! yer!!